TM: Haram cetak watak kartun atas kek?

Ramai juga yang minta saya ulas isu ini. Isu haram dan halal bukanlah bidang saya, saya akan ulas dari sudut IP. Dari situ akan lebih jelas haramkah, atau halalkah.

Pendapat saya ada sikit berbeza.

Penggunaan trademark atau copyright tanpa kebenaran untuk melariskan jualan memang salah di sisi undang-undang. Itu jelas.

Berkenaan mencetak watak kartun terkenal pada kek atas permintaan pelanggan bagaimana pula?

Pandangan saya:

Pemilik IP berhak menghalang orang lain dari ambil keuntungan atas hasil karya mereka. Mereka berhak mendapat habuan atas hasil titik peluh dan kepakaran yang dicurahkan.

Sekiranya, memang pemilik IP itu terang-terangan tidak bersetuju, dan peniaga masih lagi meneruskan mencetak secara curi, itu memang haram.

Tapi, sekiranya perbuatan itu dianggap sebagai promosi percuma oleh pemilik IP, dan dia langsung tak kisah orang lain cetak watak kartunnya atas kek atau apa-apa media, adakah ia masih haram?

Sudah tentulah tidak.

Sebab itu saya sering sarankan, sebelum guna IP orang lain, tanya dulu pemiliknya, sama ada OK tau tidak. Itu lebih selamat.

Rasanyalah, jika setakat seketul kek, dibuat pula oleh peniaga kecil-kecilan, pemilik IP pun tak kisah. Tapi kalau Secret Recipe nak buat promosi kek BoBoiBoy, atau Upin dan Ipin, itu semestinya sudah ada persetujuan hitam putih dengan empunya karya.

Menyatakan semuanya haram, pada saya terlalu semberono dan pukul rata.

Ini pendapat saya saja. Saya ulangi, lebih selamat jika tanya dulu. Jika ok, teruskan. Lebih aman.

Faizal Ismail
Teraju IP Sdn Bhd

P.s: saya tak kisah jika siapa-siapa nak cetak Teraju IP atas kek atau t-shirt. Ianya tidak haram malah saya akan berterima kasih pula 😁