Larangan Tanam Harum Manis Perlis di Luar

“Mohon ulas harum manis hanya boleh ditanam di Perlis sahaja. ┬áSebab tengok dalam paper baru-baru ni, yang exco kerajaan Perlis suruh harum manis ditanam di Perlis sahaja,sebagai sumber pendapatan orang Perlis”.

Ulasan saya:

Harum Manis Perlis telah didaftarkan GI di Malaysia. GI bermaksud Geographical Indication. Dalam bahasa Melayu disebut Petunjuk Geografi.

GI adalah suatu tanda ke atas sesuatu produk yang menunjukkan tempat produk tersebut dihasilkan.

Syaratnya ia mestilah ada spesialiti, atau mempunyai tahap kualiti tertentu, atau reputasi yang baik disebabkan oleh tempat dimana ia dihasilkan.

GI memberikan hak kepada pemohon untuk menghalang pihak luar dari menggunakan nama tempat yang telah didaftarkan untuk produk yang sama.

Champagne adalah sejenis wine. Champagne adalah nama tempat wine itu dihasilkan. Wine yang dihasilkan ditempat lain tidak boleh menggunakan nama Champagne.

Jutaan orang minum champagne, tapi hanya penduduk Champagne sahaja yang boleh mengeluarkan minuman itu. Ia sudah tentulah memberikan impak ekonomi yang tinggi kepada penduduk Champagne.

Tanam Harum Manis di Luar Perlis

Tidak ada akta yang boleh menghalang sesuatu tanaman ditanam di luar sesuatu negeri.
GI hanya memberi hak ekslusif penggunaan nama tempat sahaja. GI tak ada peruntukkan untuk menghalang penanaman sesuatu tanaman ditempat lain.

Pendapat saya, Harum Manis boleh ditanam di luar Perlis. Tapi ia tidak boleh menggunakan nama Harum Manis Perlis jika ia tidak ditanam dalam negeri itu. Mungkin apa yang dikatakan oleh exco tersebut hanyalah berbentuk saranan.

Siapa yang boleh memohon GI?
Individu tidak boleh memohon GI. Ia hanya boleh dipohon oleh wakil penduduk, atau wakil persatuan, atau wakil satu komuniti tempat tersebut. Hak akan diberikan kepada pemohon jika ia memenuhi semua syarat yang ditetapkan.